Jika Allahyarham Mamat Khalid masih hidup, pastinya usia arwah hari ini ialah 62 tahun sempena ulang tahun kelahiran pengarah terkenal itu.
Dalam usia ini, Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohd Khalid pasti masih gigih berkarya, malah banyak lagi idea dan filem dalam kepala Mamat sebelum dia meninggal dunia.
Namun, ajal terlebih dulu menjemput Mamat apabila arwah meninggal dunia pada 24 Oktober 2021 akib@t s£rangan jantung pada usia 58 tahun.
Pemergian Mamat satu kehilangan besar buat industri filem tanah air kerana sukar untuk mencari pengganti pengarah dan penulis skrip yang memiliki sentuhan unik dan tersendiri ini.
Antara kelebihan Mamat yang merupakan anak jati Kampung Sungai Rokam, Ipoh ini ialah kita boleh tahu itu filem Allahyarham berdasarkan dialog, cerita, pelakon dan lokasi filem itu walaupun kita menonton filem berkenaan tanpa dimaklumkan siapa pengarahnya.
Dialog dalam loghat Perak dan lokasi penggambaran di sekitar Perak seperti Ipoh, Kuala Kangsar, Tanjung Malim dan Taiping sudah menjadi 'trademark' dalam filem dan telefilem Alllahyarham Mamat, malah arwah juga tidak terlalu bergantung kepada pelakon-pelakon popular sebagai watak utama dalam filemnya.
Pelakon yang kurang dikenali sebelum itu seperti Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail yang membawa watak Usop Wilcha, Allahyarham Rab Khalid (Yeh Sekupang), Allahyarham Man Kadir (Pak Jabit), Dewa Sapri (Cik Purnama), Azmi Baharon (Black), Sharwani NS (Wani, Dio), TJ Isa (Khuda), Afea Deana (Yah Kuchei) dan Rashid Othman (Faguha Jabar), berjaya menampilkan lakonan berkesan hasil bimbingan arwah Mamat.
Malah, kebanyakan watak-watak tambahan yang terdiri daripada rakan-rakan sekeliling termasuk rakan media yang diminta menjadi 'pelakon' juga mampu menjayakan watak masing-masing.
Begitu juga dengan nama-nama yang sedia dikenali antaranya Belle Ngasri (Barkoba), Kazar (Pak Din), Joey Daud (Daud M), Delimawati (Kak Limah), Khir Rahman (Jijo), Kamarul Haji Yusof (Cik Man) dan Allahyarham Loloq (Ah Lok, A Kamsan) yang terus mencipta populariti selepas 'menjadi' dengan watak ciptaan arwah Mamat.
Disamping itu, Allahyarham Mamat juga berjaya 'mengeluarkan' sisi komedi Datuk Awie menerusi watak Husin dalam siri filem 'Zombie' dan 'Hantu Kak Limah'.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham Mamat mengarah 25 filem termasuk filem Rajawali : Aku Abang Long yang belum ditayangkan. Filem pertama arahannya ialah Lang Buana pada 2003.
Antara filem popularnya ialah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Zombie Kampung Pisang, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hantu Kak Limah, Man Laksa, Estet, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X, Manap Karaoke dan 18 Puasa Di Kampong Pisang.
Selain filem komedi, arwah Mamat turut tampil dengan filem genre berat dan 'dark' seperti Lebuhraya Ke Neraka, Amir & Loqman Pergi Ke Laut dan Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.
Allahyarham Mamat turut menghasilkan telefilem dan drama bersiri yang terus diingati seperti Namaku Yassin, Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel, Pinang Durian, 15 Puasa, 16 Puasa, 17 Puasa dan Kampung Pisang Bersiri-Siri.
Secara peribadi, lima filem terbaik arwah Mamat pilihan penulis ialah Man Laksa, Hantu Kak Limah, Rock Bro, Estet dan 18 Puasa Di Kampung Pisang.
Berikut lima filem popular arwah Mamat yang mencatat kutipan paling tinggi :
1. Hantu Kak Limah - RM36.2 juta (2018)
2. Hantu Kak Limah Balik Rumah - RM10 juta (2010)
3. Husin, Mon dan Jin Pakai Toncet - RM5.9 juta (2013)
4. 18 Puasa Di Kampung Pisang - RM5 juta (2021)
5. Rock Bro - RM4.6 juta (2016)
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment