Nampaknya konsert WE 4U2C Live in Concert yang akan berlangsung pada 15 September ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya, bertambah meriah lagi apabila kumpulan pop popular era 90-an, A To Z pula mengesahkan akan membuat kemunculan istimewa selepas kumpulan rap wanita, Res2 yang popular dengan lagu 'Kepastian dan Pengertian' turut terbabit sekali.
Anggota A To Z iaitu Lan atau nama sebenarnya, Norazlan Abdul Aziz, 55, berkata, kehadiran kumpulannya itu dalam konsert terbabit sebagai satu langkah permulaan sebelum mereka melancarkan program khas bersempena ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan itu.
"Tahun ini genap 30 tahun usia A To Z. Jadi, memang ada perancangan untuk kami adakan satu atau dua program istimewa. Sebelum kami teruskan dengan program itu, elok juga kalau dapat buat 'pemanas badan'.
"Kebetulan pihak 4U2C memberi ruang, jadi kami terima dengan rasa gembira. Setakat ini, Jeff dah tandatangan k0ntrak dan Insya-Allah akan turut serta dalam konsert itu.
"Setakat ini hanya satu lagu saja. Nak kata dapat mengubat rindu tu mungkin belum cukup, sebab satu lagu saja. Namun, sebagai permulaan, ini sudah cukup menggembirakan," kata Lan.
Pada konsert tersebut, A To Z akan mempersembahkan lagu popular mereka, 'Itik Gembo-Gembo' yang sememangnya cukup sinonim dengan nama A To Z.
"Itu lagu yang mereka minta kami nyanyikan. Kalau dapat buat dalam bentuk medley dengan beberapa lagu lain pun lebih seronok, sebab peminat mungkin nak dengar lagu-lagu lain juga," tuturnya.
Lan sebelum ini berkongsi mengenai keterujaan melihat fenomena kebangkitan semula artis-artis era 90-an yang kembali mewarnai pentas hiburan tanah air.
"Kami pun seronok tengok artis-artis lama mula aktif semula. KRU, contohnya, memang 'mencab@r keimanan' sebab mereka sangat berjaya menarik perhatian ramai.
"Memang nampak jelas peminat 90-an masih setia dan ramai. Kami dah lama tak keluar sebagai A To Z. Kalau secara solo itu ada juga, tapi itu bukan A To Z.
"Sebenarnya kami memang teringin nak buat konsert sendiri sebab dah lama tak ada. Jadi memang rasa teruja bila dapat jemputan konsert macam ini," ujarnya.
Dalam pada itu, ulas Lan lagi, peluang untuk tampil dalam konsert 4U2C ini membuka ruang kepada A To Z untuk menilai semula minat dan sambutan peminat sebelum mereka tampil dengan konsert berskala penuh pada masa akan datang.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment