25 July 2013

ALBUM BARU - UNIC VS NOWSEEHEART


Di bulan Ramadhan yang mulia ini, pastinya banyak album berbentuk nasihat seperti nasyid diterbitkan bagi mengisi kekosongan hati para pendengar. Sehubungan itu, Kumpulan Unic dan Kumpulan Nowseeheart juga tidak mahu ketinggalan dalam soal ini.

Dua buah album baru kini muncul di pasaran iaitu album Fatwa Hati (NowSeeHeart) dan album Doa (Unic). Ikhlasnya, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu dijadikan 'teman' dikala sunyi disamping membimbing menghafal doa-doa penting.




Muncul buat kali pertama pada tahun 1998, NowSeeHeart tampil dengan muzik yang segar dan matang melalui album Wahyu Pertama. Pada tahun 2002, NowSeeHeart sekali lagi muncul dengan album Berjalan, Melihat dan Mentafsir. Melalui kedua-dua album tersebut, NowSeeHeart berjaya meraih Anugerah Artis Baru Terbaik Berkumpulan (AIM 1999) dan Anugerah Vokal Terbaik Berkumpulan (AIM 2003) di samping pencalonan-pencalonan lain.

Selama tempoh penglibatan NowSeeHeart di persada muzik tanah air, album seperti Selawat 10 Hajat (Himpunan Selawat), Jalan Sehala (Kolaborasi bersama Saujana) dan Kembali (Kompilasi dan 4 lagu baru) disajikan kepada pendengar. Lagu-lagu seperti Damai yang Hilang, Ku Harap Cinta, Damai dan Inspirasi sentiasa meniti di bibir peminat mereka.

Kini NowSeeHeart tampil semula. Kali ini dengan ‘single’ berjudul FATWA HATI. Lagu ini dinyanyikan bersama pendatang baru, Fahd Ezuan. Fahd Ezuan pernah muncul dengan lagu Meniti Waktu ciptaan Adnan Abu Hasan yang sangat popular di pantai timur.

Lagu dan lirik Fatwa Hati merupakan ciptaan anggota NowSeeHeart sendiri iaitu Azahari Bin Abdul Rahman dan Idzhar Bin Jumali. Lirik lagu ini adalah adaptasi sebuah hadis hasan riwayat Imam Ahmad dan Ad- Daarimi berkisar tentang peri penting fitrah naluri hati manusia dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Diterbitkan sendiri oleh Azahari NowSeeHeart dengan menggabungkan pemuzik-pemuzik berkaliber seperti Firdaus Mahmud, Nan, Eddie Marzuki, dan pemain ‘strings’, Aksana Yusupova, Yip Siew Keen, Angela Lou dan Nasran Nawi. ‘Mixing’ oleh jurutera bunyi terkenal Greg Henderson dan ‘mastering’ oleh Don Bartley di Australia menjadikan lagu ini boleh dikategori sebagai bertaraf antarabangsa.

‘Single’ ini akan dimuatkan di dalam album NowSeeHeart yang akan datang. Album yang akan muncul pada bulan September ini bakal menampilkan 7 buah lagu baru dendangan NowSeeHeart dan diterbitkan oleh UNICDOTMY Pro.

Manakala bagi Kumpulan Unic pula, Album DOA – UNIC, menampilkan 18 jenis doa dengan alunan kontemporari serta 2 buah lagu nasyid, Ya Hanana & Ikramul Kareem. Menariknya album ini, UNIC buat pertama kalinya bergabung bersama Ustaz Selebriti terkenal Ustaz Syed Abdul Kadir AlJoofre yang menyampaikan “Words of Wisdom” berselang seli dengan doa.

Istimewanya album ini, UNIC terus mengekalkan konsep alunan doa yang disertai dengan makna dan disampaikan secara melodi santai. Mudah dihafal dan dihayati adalah faktor mengapa album ini diterima di setiap peringkat umur.

Antara doa-doa yang terkandung di dalam album ini adalah Doa Dhuha, Doa Istikharah, Doa Tahajjud, Doa Robitah, Doa Taubat, Qunut Nazilah dan disertai dengan 2 buah lagu Ya Hanana yang diberi nafas baru serta satu lagu baru Ikramul Kareem. Secara keseluruhan, album ini menampilkan kesungguhan UNIC untuk mengetengahkan konsep doa yang mudah untuk di ingati dan di hayati.

Album istimewa ini merupakan terbitan UNICDOTMY Pro Sdn Bhd di bawah label UNIC Records dan edaran oleh Inteam Records bersama Warner Music (M) Sdn Bhd. Ia kini boleh didapati di kedai-kedai CD yang terpilih atau secara online di www.unicmyshop.com dengan harga RM19.90. Malah ia boleh dimuat turun secara digital menerusi portal muzik terkemuka seperti iTunes, Spotify dan lain-lain lagi.







No comments: