01 April 2021

PERSEMBUNYIAN SAJAT - POLIS SYAK BERADA DI LUAR NEGARA



Usahawan kosmetik, Sajat yang sudah hampir sebulan diburu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu dilaporkan masih belum berjaya ditangkap sejak waran tangkap ke atasnya dikeluarkan 23 Februari lalu.

Terbaru, pihak polis memaklumkan kemungkinan Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman berada di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, usaha mengesan Sajat diteruskan dengan kerjasama pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Tindakan masih diambil untuk mengesan Sajat, ada berita menyatakan dia berada di luar negara dan kita masih lagi melakukan pemantauan.

"Sajat (kes) kerjasama di antara pihak IPK Selangor dengan JAIS, ia masih dalam tindakan kita," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas usahawan kosmetik tersebut selepas dia gagal hadir prosiding sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina pada 23 Februari lalu.

Minggu lalu, Sajat muncul secara live di laman Instagram, bagaimanapun tidak menunjukkan wajah kepada warganet selain mengatakan dirinya dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, Sajat menafikan kononnya dia bersembunyi dan berkata pihak berkuasa tidak mencarinya, serta yakin polis mempunyai kes atau urusan lain yang lebih penting berbanding dirinya.

Sementara itu, Sajat dilaporkan turut antara tiga individu yang kini menjadi tumpuan pihak berkuasa tempatan kerana mempunyai waran tangkap ekoran gagal hadir ke mahkamah dan terlibat dengan kes jenayah komersial terbesar di negara ini.

Selain Sajat, dua lagi individu tersebut ialah pengasas Sugarbook, Chan Eu Boon, 34, dan ketua sindiket pe­ngubahan wang haram terbesar, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: